Fans of Johor Football



Monday, July 22, 2013

Diari Ramadhan Hafizam Arejeep JLQ 2013 Hari ke-13

13 Ramadhan 1434H bersamaan 22 July 2013M (Monday)

                Buat pertama kalinya aku tidak meneruskan niat untuk tidur selepas Solat Subuh untuk hari ini kerana aku ingin mengelakkan keletihan yang teramat sangat di siang hari dan untuk itu hari ini adalah ujian aku sepanjang bulan Ramadhan pada tahun ini. Seperti biasa selepas Subuh aku akan terlelap sehinggalah jarum jam menunjukkan lingkungan ke angka 12 hingga jam 1 dan pada masa itu aku akan terjaga dari tidur yang sangat lama iaitu masa untuk aku bangun semula bagi meneruskan kerja-kerja yang terbengkalai. Di sebelah malam, hampir pada setiap hari aku berjaga sehingga lewat pagi iaitu antara jam 1 atau 2 pagi dan kekerapan untuk malayari laman sesawang dan menonton televisyen (TV) adalah sangat tinggi. Jika cerita itu telah menarik perhatian aku untuk menonton maka aku akan berjaga sehingga lewat malam dan kesanggupan aku untuk melayari laman sesawang juga adalah kerana aku ingin mengetahui info semasa dan berita terkini supaya aku sentiasa mendapat maklumat mengenai sesuatu perkara atau isu yang berlaku di Malaysia mahupun global.

                Justeru itu aku bangun seawal 5 pagi waktu Malaysia untuk menikmati sahur bersama kakak aku Noorhasikin. Kami hanya memanaskan lauk berbuka semalam yang masih boleh dimakan selepas disimpan didalam peti sejuk. Selepas jam 7 pagi aku tidak terus tidur sehinggalah pada waktu petang kerana berasa mengantuk iaitu selepas jam 3 petang sehinggalah jam 6 petang. Aku berasa sangat puas hari ini kerana badan aku tidak letih seperti aku bangun seperti sebelum ini. “TIPS” untuk anda pada hari ini adalah jangan tidur terlalu lama !!! Hal ini kerana tidur yang banyak menyebabkan kita berasa letih ketika berpuasa. Ada yang beranggapan bahawa dengan melakukan aktiviti tidur di bulan Ramadhan boleh mendapat pahala kerana tidur adalah suatu ibadah akan tetapi tidur yang dimaksudkan adalah secara tidak berlebihan.

                Pada sebelah pagi aku membasuh baju kerana sudah terlalu banyak baju yang kotor dan untuk itu aku berasa amat tidak berpuas hati kepada segelintir jiran yang membakar sampah (memeron) ketika tengah hari dimana baju aku telah berbau asap. Hal ini sangat mendukacitakan aku kerana baju yang dibasuh adalah telah berbau wangi kerana aku menggunakan pelembut baju seperti “Softlan” jenis “Lavender” sewaktu dibasuh akan tetapi selepas aktiviti “memeron” tersebut baju yang telah disidai seawal pagi telah berbau asap seperti ayam yang disalai di atas bara api. Selepas aku terlihat asap yang “berkepul-kepul” melingkari perkarangan rumah, aku menyegerakan tindakan aku dengan membawa masuk baju yang telah dibasuh ke dalam rumah bagi mengelakkan lebih banyak bau asap terkena pada baju yang telah aku basuh. “TIPS” untuk hari ini adalah jangan sesekali “memeron” sampah ketika jiran sedang menjemur pakaian untuk dikeringkan selepas dibasuh. PENGAJARAN bagi aku, Jangan sesekali memarahi jiran kerana aku juga sering berbuat demikian. (Memeron sewaktu tengah hari ketika ramai orang ingin membasuh baju ataupun berehat). Hehehehehehe….. “padan muka kamu Hafizam” hahahahaha…


Inilah baju yang aku basuh pada pagi tadi…



Dan setelah dilipat inilah hasilnya…


                Pada petang semalam aku telah mengunjungi warung emak kawan aku untuk membeli mi goreng yang dimasak oleh emak kawan aku itu sendiri. Kakak aku Shamsiah teringin untuk merasai masakan emak beliau kerana pernah suatu ketika dahulu kakak aku pernah merasai masakan mi goreng tersebut dan untuk itu kami singgah di warung emak beliau dan memesan mi goreng sebanyak 2 bungkus untuk dimakan ketika berbuka puasa. Semasa menunggu untuk pesanan itu siap, aku dan kak ngah mengambil peluang untuk berbual bersama emak beliau. Emak beliau bernama Puan Azizah. Puan Azizah sangat mengenali aku kerana aku adalah kawan baik anak beliau ketika di sekolah menengah di tingkatan 6. Semasa berbual ada sedikit perbualan kami yang telah mencuit hati aku untuk bergelak ketawa. Ini adalah dialog aku dengan emak kawan aku itu.


Aku: “Cik nak beli mi goreng untuk 2 orang eh”. “Hmm bungkus tau cik”. Hehe
Puan Azizah: mengangguk sambil tersenyum (daripada dapur tidak terlalu jelas melihat aku)
Aku: “Cik kenal lagi tak saya”?
Puan Azizah: mengerutkan dahi.. “Eh ko anak orang Kurnia Sakti tue eh”?
Aku: “ha’ah cik anak md din Hehe”
Puan Azizah: “owhhh ape tak kenalnyerr, cik kenal” “dulu putih sakarang dah itam, banyak main panas ko ni”
Aku: dalam hati “aik itam dah ke aku ni” selepas itu aku ketawa dengan kakak aku “hahahaha”


                Pada sebelah malam ketika aku datang ke masjid pada hari ini aku melihat ramai orang dakwah (Orang Tabligh) datang untuk menginap di masjid tempat aku untuk beberapa hari barangkali selepas aku melihat beg berisi pakaian yang ditutup di bahagian belakang masjid. Aku ingin berterus terang khas di blog aku ini iaitu aku menyukai orang yang berdakwah akan tetapi aku tidak menyukai jika mereka berkampung di masjid atau dimana-mana sahaja sehingga meninggalkan anak bini selama beberapa ketika, berhari mahupun berbulan-bulan. Untuk berdakwah mempunyai pelbagai cara akan tetapi kelaziman orang-orang dakwah yang berkunjung ke masjid di tempat aku adalah mereka seringkali berbuat demikian. Aku juga ingin berterus terang di dalam blog aku ini bahawa aku tidak menyukai orang dakwah iaitu orang “Tabligh” yang tidak mahu turut serta dalam ceramah anjuran kita malah ketika mereka berceramah mereka berkehendak akan kita sama-sama turut serta dalam program mereka. Hal ini tidak adil dan tidak bijak dalam mengenalpasti citarasa orang ramai. Aku bercakap bukan sahaja di tempat aku sendiri tetapi di pelbagai tempat hasil tinjauan aku dengan berkongsi pendapat bersama kawan aku di tempat lain tentang orang dakwah ini. Aku bukan ingin memburuk-burukkan imej dakwah orang “tabligh” ini akan tetapi ianya merupakan tindakan yang tidak sesuai dengan imej yang alim.

Ini adalah gambaran imej orang Tabligh (Maaf gambar kurang jelas)…


                Sekian sahaja untuk hari ini semoga kita berjumpa lagi pastinya pada setiap hari di bulan Ramadhan bulan yang penuh dengan kesucian dan dimana hanya terdapatnya amalan wajib berpuasa ke atas umat Islam di serata dunia. Semoga berjumpa di keesokan harinya dalam DIARI RAMADHAN HAFIZAM AREJEEP JLQ 2013 yang pastinya penaja utama adalah GOOGLE enjin pencarian terbaik anda. Hehehehe….

Salam.. PEACE NO WAR !!!..



No comments:

Post a Comment