Fans of Johor Football



Friday, July 19, 2013

Diari Ramadhan Hafizam Arejeep JLQ 2013 Hari Kesepuluh

10 Ramadhan 1434H bersamaan 19 July 2013M (Friday)

                Hari ini seperti kebiasaan aku bangun waktu sahur tetapi terlewat sedikit iaitu pada jam 5.20 pagi dan waktu imsak pada jam 5.37 pagi dan Subuh pula adalah 10 minit selepas itu. Aku bersahur pagi tadi untuk kali yang ketiga berturut-turut seorang diri kerana aku lewat bangun. Aku sengaja bangun lewat pada waktu sahur kerana aku ingin memastikan bahawa selepas bersahur aku akan terus solat Subuh dan jika aku bangun seperti jam 4.30 pagi maka selepas sahur kebarangkalian untuk aku tidur semula sangat tinggi dan hal ini akan terlepas waktu Subuh seperti Ramadhan sebelum ini. Manusia selepas makan mereka akan berasa kekenyangan dan memerlukan waktu beristirehat untuk menghadamkan makanan yang telah dimakan dan justeru itu mereka akan berasa mengantuk dan letih. Untuk itu bagi memastikan aku tidak tertidur selepas sahur aku sengaja melewat-lewatkan waktu bersahur. Adalah disunatkan untuk kita melewatkan sahur iaitu kira-kira 10 hingga 20 minit sebelum azan Subuh berkumandang.

Sabda Rasulullah SAW “pemisah (yang membezakan) antara puasa kita (Islam) dan puasa ahli Kitab (Kristian) ialah makan sahur”. [HR : Muslim].

Sabda Rasulullah SAW “Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan.” [HR : al-Bukhari dan Muslim].

Justeru itu jika kita berbuat demikian maka kita akan mendapat keberkatan iaitu ganjaran pahala yang besar di dalam ibadah sahur tersebut.

                Hari ini ialah hari Jumaat yang kedua dalam bulan Ramadhan 1434H dan semasa khutbah Jumaat pada hari ini umat Islam di Malaysia digesa dan diwajibkan untuk membayar zakat Fitrah kepada setiap amil yang dilantik oleh Majlis untuk mengutip zakat. Zakat merupakan rukun Islam yang keempat yang harus dilaksanakan oleh orang Islam dan merdeka yang mampu iaitu memiliki kecukupan yang melebihi keperluannya dan orang-orang yang di bawah tanggungannya. Sebagai contoh ibu dan bapa yang bekerja perlu membayar zakat fitrah untuk kesemua anak mereka akan tetapi bapa sahaja yang perlu membayar manakala si isteri ditanggung oleh si suami beserta anak.

                Bagi zakat fitrah aku dibayar oleh ayahku kerana aku belum bekerja. Mengikut khutbah yang dibaca oleh Pak Imam tadi menerangkan tentang bab zakat fitrah dimana jika dibayar sebelum solat Hari Raya Aidilfitri maka ianya dikira sebagai zakat Fitrah namun jika dibayar selepas  1 syawal maka ianya dikira sebagai sedekah. Justeru itu waktu zakat Fitrah perlu dibayar adalah terbahagi kepada 5 kategori iaitu :

1.    Waktu Wajib: apabila terbenam matahari akhir 30 Ramadhan sehingga terbit matahari pada keesokan harinya
2.       Waktu Paling Afdal: Sebelum Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri
3.       Waktu Sunat: Sepanjang bulan Ramadhan
4.       Waktu Makruh: Selepas solat sunat Hari Raya Aidilfitri sehingga terbenam matahari pada 1 Syawal
5.       Waktu Haram: Selepas terbenam matahari pada 1 Syawal iaitu hukumnya adalah berdosa akan tetapi wajib ditunaikan zakat Fitrah tersebut dengan kadar segera dan pada waktu itu ianya dikira sebagai Qada.

                Bagi Negeri Johor jika mana-mana orang yang wajib membayar zakat Fitrah tetapi mereka enggan untuk menbayarnya dengan sengaj maka mereka akan dikenakan denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

                Berikut adalah kadar bayaran Zakat Fitrah 2013 bagi seluruh Negeri di Malaysia:
·         Perlis ~ RM6.00
·         Kedah ~ RM7.00
·         Pulau Pinang ~ RM7.00
·         Perak ~ RM7.00
·         Selangor ~ RM7.00
·         Negeri Sembilan ~ RM6.50
·         Melaka ~ RM6.50
·         Johor ~ RM5.00 – RM8.00 *
·         Pahang ~ RM7.00
·         Terengganu ~ RM4.50 – RM7.00 – RM7.60 *
·         Kelantan ~ RM7.00
·         Sarawak ~ RM6.50
·         Sabah ~ RM7.00
·         Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan ~ RM7.00

*Bagi negeri JOHOR dan TERENGGANU kadar adalah berbeza mengikut jenis dan gred Beras.

                Hari ini kakakku yang menetap di Muar (Noorashikin) dan JB (Zuraimi) pulang kerumah di sebelah petang tadi untuk berbuka bersama-sama dan anak buah juga pulang kerumah di sebelah pagi iaitu Mohd Shazrizal Ikmal yang dihantar oleh “baba” dia. Justeru itu waktu berbuka tadi satu meja penuh dengan seisi keluarga. Untuk juadah pada hari ini adalah seperti berikut:


1.       Tom Yam


2.       Sayur Kobis


3.       Telur Masin


4.       Keropok Lekor


Manakala menu untuk kuih muih adalah seperti berikut:
1.       Kuih Bom


2.       Kuih Karipap


3.       Kuih Seri Ayu


4.       Kuih “Koci”


                Demikianlah untuk juadah berbuka puasa pada hari ini semoga ketibaan kak ngah (Shamsiah bersama suami) dijangka malam ini akan tiba ke teratak ayahbonda yang baru sahaja bernikah baru-baru ini diharapkan pulang dengan selamat. Sekian sahaja untuk ruangan pada hari ini semoga anda semua sedikit sebanyak mendapat info yang berguna dari semasa ke semasa dimana sahaja anda berada dan berjumpa kita lagi pada keesokan harinya dalam DIARI RAMADHAN HAFIZAM AREJEEP JLQ 2013 yang pastinya ditaja sepenuhnya oleh GOOGLE. Enjin pencarian terbaik anda !!!
Salam… PEACE NO WAR !!!.....





No comments:

Post a Comment