22 Ramadhan 1434H bersamaan 31
July 2013M (Wednesday)
Dalam
ruangan diari aku pada hari ini ialah aku ingin menceritakan mengenai
pengalaman aku ketika bersama dengan arwah Atuk aku iaitu Eempeh Binti Ibrahim
(Berketurunan Bugis) yang telah kembali ke Rahmatullah pada 30 April 2013M
bersamaan dengan 19 Jamadilakhir 1434H iaitu pada hari Selasa jam 6.30 minit
pagi. Aku sendiri tidak tahu mengapa aku terfikir untuk menulis mengenai arwah
atuk. Dalam kenangan manis bersama arwah atuk telah memungkinkan aku untuk memuat
naik peristiwa yang menggamit kenangan dan untuk mengupas dengan lebih lanjut
maka aku akan memulakan hari ini dengan menyedekahkan al-fatihah kepada arwah
atuk. Al-Fatihah…
Setiap
malam aku akan pergi kerumah arwah atuk (perempuan belah mak) dimana rumah arwah
atuk berdekatan dengan rumah ibu dan bapa aku. Daripada tingkatan 1 sehinggalah
tingkatan 5, aku menemani arwah atuk untuk tidur pada waktu malam kerana arwah
sudah lama ditinggalkan oleh atuk jantan (Suami atuk) setelah meninggal dunia
sebelum aku dilahirkan. Agak janggal apabila aku memanggil nenek dengan
panggilan atuk akan tetapi adat BUGIS memang seperti itu. Apabila berkahwin
maka cucu akan memanggil atuk pada kedua-dua pasangan dan selepas gelaran atuk
barulah digelar NEK dan NENEK. Selepas itu barulah gelaran MOYANG. Anak-anak
atuk sudah bekerja dan kesemuanya telah berhijrah ke tempat lain maka atuk aku
tinggal berseorangan. Sebelum ini abang dan kakak aku menemani arwah atuk akan
tetapi setelah menamatkan zaman persekolahan mereka telah berpindah ke Kuala
Lumpur dan akibat daripada itulah aku pula yang menemani arwah atuk sehinggalah
aku tamat persekolahan di tingkatan 5. Apabila menjejakkan kaki ke tingkatan 6,
tempat aku telah digantikan oleh adik perempuan aku namun tidak lama selepas
itu adik aku sudah tidak mahu menemani arwah atuk aku dan setelah itulah atuk
aku tidur bersendirian pada waktu malam.
Mengapa
aku tidak menyambung dan meneruskan legasi dengan menemani arwah atuk jika adik
aku berkeras tidak mahu menemani atuk semula? Justeru itu aku menyambung semula
legasi dengan menemani arwah atuk pada waktu malam kerana atuk berasa takut
tinggal berseorangan di waktu malam jika didatangi perompak mahupun pencuri
maka atuk aku tidak boleh berbuat apa-apa dan jika adanya aku dirumah maka atuk
akan lebih terjaga dan terjamin. Arwah atuk adalah insan yang sangat baik dalam
menjaga cucu-cucunya. Semasa aku menemani arwah atuk, atuk akan membuatkan
sarapan pagi hampir setiap hari untuk aku pergi ke sekolah. Jika atuk tidak
membuat sarapan, paling tidak pun atuk akan menyediakan air milo di atas meja
makan. Aku sangat terharu dengan karaktor yang dipersembahkan oleh atuk tatkala
setiap pagi. Ibu kandung aku sendiri pun tidak akan berbuat sedemikian kerana
masih ramai tanggungan tetapi atuk aku hanya menanggung aku sahaja. Setiap
malam aku akan dihidangkan dengan makanan oleh arwah atuk kerana arwah atuk
sememangnya tahu bahawa aku akan lapar ketika waktu tengah-tengah malam.
Apabila jam 8 maka akan terhidanglah makanan di atas meja tetapi arwah atuk
akan memakan selepas waktu isyak dan aku selalu menunggu waktu isyak masuk dan
solat bersama. Selepas selesai menunaikan solat Isyak kami akan makan makanan
yang telah dihidangkan oleh arwah.
Arwah
atuk sangat menitikberatkan akan tiang agama iaitu SOLAT. Jika aku tidak ke
sekolah pada hari sabtu dan ahad maka arwah atuk akan menjerit sehingga aku
bangun untuk solat. Pernah suatu ketika aku terasa letih dan aku tidak bangun
untuk solat Subuh, maka atuk telah memarahi aku seperti anaknya sendiri. Arwah
atuk selalu mengingatkan aku bahawa soalan yang bakal ditanya di akhirat nanti
mula-mulanya adalah solat jadi jangan pernah meninggalkan solat. Arwah atuk
sentiasa mendengar ceramah pada waktu pagi di TV3 dan TV1. Biasanya pada waktu
Subuh siaran tersebut akan menampilkan segmen ceramah motivasi dan kuliah subuh
oleh penceramah agama selama sejam. Semasa tilawah Al-Quran berlansung di TV1,
hampir setiap malam arwah atuk akan membuka siaran tersebut dan jika bekalan
elektrik terputus atau pencawang mengalami gangguan, atuk akan membuka radio
untuk mendengar ayat suci Al-Quran diperdengar dan dialunkan oleh qari dan
qariah.
Antara
kesemua cucu, atuk lebih menyayangi abang aku kerana abang aku adalah cucu
pertama yang menemaninya dan menjadi gelak ketawanya setelah arwah atuk jantan
meninggal dunia. Hampir setiap hari abang aku menemani arwah atuk dan
sehinggakan pada suatu malam arwah atuk pernah bercerita pada aku dimana abang
aku menangis kerana tidak dapat tidur bersama arwah atuk pada usianya belasan
tahun iaitu semasa kecil dan untuk itu abang aku berlari di tengah-tengah malam
untuk mendapatkan arwah atuk di rumahnya. Justeru itu, saat itulah aku dapat
rasakan yang atuk sangat sayang akan abang aku. Gambar abang aku disimpan
didalam almari (gobok) iaitu gambar perkahwinan abang aku pada tahun 2004.
Kadang kala apabila atuk memanggil nama aku, atuk kerap kali tersilap dengan
memanggil nama abang aku. (cucu kesayangan memang seperti itu). Aku berasa
sangat iri hati akan hal itu namun aku reda kerana atuk sudah tua dan kadang
kala akan tersilap memanggil nama orang dan pernah juga atuk memanggil nama
abang aku dengan nama aku. (That’s small matters).
Setelah
aku mendapat panggilan ke Universiti, atuk sangat gembira dengan aku kerana aku
adalah satu-satunya anak LELAKI dalam adik beradik aku yang dapat menembusi ke
alam universiti. Hal ini kerana beza aku dan abang aku adalah dari segi sikap,
disebabkan itulah atuk aku menangis tatkala mendengar berita itu. Atuk aku
telah menitiskan air mata dan berharap aku dapat belajar bersungguh-sungguh
kerana itu adalah masa depan. Beliau tidak mahu aku mensia-siakan pelajaran
kerana atuk tahu aku tidak boleh bekerja kebun dan satu-satunya peluang adalah
belajar dengan bersungguh-sungguh. Sebelum aku berangkat ke Kedah, atuk sekali
lagi menangis kerana aku akan meninggalkan dia dalam waktu yang lama dan atuk
sangat khuatir akan kehidupan aku di Kedah nanti kerana atuk tidak mahu aku
bercampur dengan pelajar-pelajar nakal dan terlibat dengan gejala merokok dan
dadah. Aku bercakap kepada atuk iaitu jangan terlalu khuatir akan hal itu dan
aku akan jaga diri dan akan selalu pulang ke rumah.
Pada
suatu hari atuk telah dimasukkan ke Hospital dan atuk mengalami strok iaitu
tangan di sebelah kanan atau kiri atuk (aku tidak pasti) tidak boleh
digerakkan. Bermula daripada waktu itu, atuk telah jatuh sakit dan menandakan
perjalanan hidupnya semakin singkat. Akan soal atuk berada di hospital dan
siapa yang selalu menjenguk dan menjaganya, aku tidak tahu kerana aku sedang
berada di Kedah untuk meneruskan semester ke-4. Selepas kira-kira sebulan
berada di Hospital, atuk telah berkehendak untuk pulang kerumah kerana beliau
mahu meninggal dirumahnya sendiri. Waktu itu atuk sudah tidak berdaya dan perlu
dibantu oleh kereta roda. Dipendekkan cerita, atuk telah selamat sampai ke
rumah mak di Johor yang selama ini atuk barada di Hospital di Puchong,
Selangor, rumah mak busu aku di Puchong dan rumah pak long aku di Subang. Sebelum
atuk sakit dan berada di Hospital, atuk tinggal dalam keadaan sihat walafiat di
rumah abang aku di KL. Setibanya di rumah, muka atuk sudah pucat dan atuk
berkeadaan tidak bermaya, kurus dan seperti orang letih. Aku telah diberitahu
oleh Kakak Ipar iaitu isteri abang aku iaitu atuk telah tenat dan aku sangat
sedih ketika mendapat panggilan daripada kakak ipar aku itu. Untuk itu aku
meminta gambar daripada kakak aku Fuziah yang secara kebetulan kakak aku itu
sedang berpantang dirumah kerana melahirkan anak kedua. Aku masih menyimpan
gambar atuk yang pucat lesi itu sehingga sekarang.
Alhamdulillah
pada 29 April 2013 aku telah dapat pulang awal untuk Pilihan Raya Umum 2013
(PRU13) iaitu diberi cuti oleh pihak Universiti iaitu pada 3, 4 dan 5 April
2013. Pada 30/4 aku tidak mempunyai kelas, dan hari rabu 1 Mei adalah hari
pekerja dan hari khamis 2 Mei aku telah ponteng kelas dan hari jumaat dan sabtu
(3 & 4 Mei) aku tidak mempunyai kelas dan telah diberi cuti awal untuk
PRU13. Justeru itu aku sangat bernasib baik kerana dapat membeli tiket dan
dapat pulang kerumah untuk melihat atuk yang sudah tenat akan tetapi pada
30/4/2013 atuk telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 6.30pagi
didalam waktu Subuh dan untuk itu aku berasa terkilan di dalam bas kerana tidak
dapat meminta maaf dengan arwah sebelum arwah meninggal dunia. Aku telah tiba di
rumah atuk pada pukul 9 pagi dan pada waktu itu begitu ramai orang di rumah
atuk sehingga tidak muat untuk aku masuk menjengah atuk.
Ketika
masa untuk dibawa ke tanah perkuburan, ada satu sesi untuk menatap arwah dan
kain kapan pada bahagian muka telah dibuka dan pada waktu itulah aku telah
mengambil kesempatan untuk mengucup dahi arwah atuk buat kali terakhir dalam
hidup aku dan alangkah sedihnya hati aku ketika itu hanya Allah sahaja yang
maha mengetahuinya. Berjurai air mata aku membasahi baju aku selepas mengucup
dahi arwah atuk kerana aku sangat menyayangi atuk sehinggalah aku meninggal
dunia. Aku sendiri telah mengangkat jenazah arwah atuk untuk dimandikan bersama
yang lain, disembahyangkan serta ketika mengandar jenazah atuk mengiringi jenazah
ke tanah perkuburan. Ketika untuk memasukkan arwah atuk ke dalam liang lahad
aku tidak dapat menahan sebak dan kotak memori aku ini sentiasa ingatkan jasa
arwah ketika beliau hidup pada ketika
itu. Aku telah ditenangkan oleh mak dan kakak aku supaya jangan menangis
seperti itu seolah-olah tidak membenarkan arwah atuk pergi dengan aman. Pada
ketika itu, aku seperti sedang melepaskan bertan-tan air mata kerana aku dapat
melihat dengan mata kepala aku sendiri atuk dikebumikan.
Pada
hari ini sudah 1 Ogos 2013 maka genaplah 3 bulan untuk atuk meninggalkan kami
semua bermula 30 April, Mei, Jun dan Julai. Aku sangat rindu akan arwah atuk
yang banyak berjasa kepada aku daripada aku kecil sehinggalah dewasa. Jika masa
boleh berpatah semula, aku akan menjaga atuk dan tidak akan bersikap malas jika
atuk menyuruh aku membuat sesuatu pekerjaan. Terima kasih aku ucapkan kepada
IBU dan BAPA SAUDARA aku (ELA & KARIM) kerana telah membawa atuk pulang
kerumah ketika atuk mahu pulang kerumahnya ketika atuk tenat. Aku tidak tahu
bagaimana perasaan aku apabila aku mendengar TAKBIR RAYA pada 1 Syawal nanti
tanpa arwah atuk yang sangat aku kasihi. “Atuk baliklah, Ajib rindu dengan
atuk, atuk janganlah macam ini, ATUK ! ATUK ! ATUK” !
Al- fatihah
“IN MEMORY” (sitting
in the left seat)
Sekian
sahaja untuk DIARI RAMADHAN HAFIZAM AREJEEP JLQ 2013 pada hari ni. Aku sangat
rindu akan arwah atuk pada ketika itu semoga arwah atuk ditempatkan dengan
orang-orang yang beriman amin. Terima kasih aku ucapkan kepada semua yang telah
menjaga arwah atuk daripada Hospital sehinggalah saat-saat arwah untuk
meninggal dunia. Alhamdulilllah semoga jasa kalian semua dibalas dengan
ganjaran pahala dari-Nya. Semoga arwah tenang disana in sha Allah dan bertemu
kita lagi di keesokan harinya pastinya GOOGLE selaku penaja utama Diari aku.
Selamat menunaikan ibadah puasa dan selamat Bersahur.
Salam.. PEACE NO WAR
!!!