Fans of Johor Football



Thursday, August 1, 2013

Diari Ramadhan Hafizam Arejeep JLQ 2013 Hari ke-22

22 Ramadhan 1434H bersamaan 31 July 2013M (Wednesday)

                Dalam ruangan diari aku pada hari ini ialah aku ingin menceritakan mengenai pengalaman aku ketika bersama dengan arwah Atuk aku iaitu Eempeh Binti Ibrahim (Berketurunan Bugis) yang telah kembali ke Rahmatullah pada 30 April 2013M bersamaan dengan 19 Jamadilakhir 1434H iaitu pada hari Selasa jam 6.30 minit pagi. Aku sendiri tidak tahu mengapa aku terfikir untuk menulis mengenai arwah atuk. Dalam kenangan manis bersama arwah atuk telah memungkinkan aku untuk memuat naik peristiwa yang menggamit kenangan dan untuk mengupas dengan lebih lanjut maka aku akan memulakan hari ini dengan menyedekahkan al-fatihah kepada arwah atuk. Al-Fatihah…

                Setiap malam aku akan pergi kerumah arwah atuk (perempuan belah mak) dimana rumah arwah atuk berdekatan dengan rumah ibu dan bapa aku. Daripada tingkatan 1 sehinggalah tingkatan 5, aku menemani arwah atuk untuk tidur pada waktu malam kerana arwah sudah lama ditinggalkan oleh atuk jantan (Suami atuk) setelah meninggal dunia sebelum aku dilahirkan. Agak janggal apabila aku memanggil nenek dengan panggilan atuk akan tetapi adat BUGIS memang seperti itu. Apabila berkahwin maka cucu akan memanggil atuk pada kedua-dua pasangan dan selepas gelaran atuk barulah digelar NEK dan NENEK. Selepas itu barulah gelaran MOYANG. Anak-anak atuk sudah bekerja dan kesemuanya telah berhijrah ke tempat lain maka atuk aku tinggal berseorangan. Sebelum ini abang dan kakak aku menemani arwah atuk akan tetapi setelah menamatkan zaman persekolahan mereka telah berpindah ke Kuala Lumpur dan akibat daripada itulah aku pula yang menemani arwah atuk sehinggalah aku tamat persekolahan di tingkatan 5. Apabila menjejakkan kaki ke tingkatan 6, tempat aku telah digantikan oleh adik perempuan aku namun tidak lama selepas itu adik aku sudah tidak mahu menemani arwah atuk aku dan setelah itulah atuk aku tidur bersendirian pada waktu malam.

                Mengapa aku tidak menyambung dan meneruskan legasi dengan menemani arwah atuk jika adik aku berkeras tidak mahu menemani atuk semula? Justeru itu aku menyambung semula legasi dengan menemani arwah atuk pada waktu malam kerana atuk berasa takut tinggal berseorangan di waktu malam jika didatangi perompak mahupun pencuri maka atuk aku tidak boleh berbuat apa-apa dan jika adanya aku dirumah maka atuk akan lebih terjaga dan terjamin. Arwah atuk adalah insan yang sangat baik dalam menjaga cucu-cucunya. Semasa aku menemani arwah atuk, atuk akan membuatkan sarapan pagi hampir setiap hari untuk aku pergi ke sekolah. Jika atuk tidak membuat sarapan, paling tidak pun atuk akan menyediakan air milo di atas meja makan. Aku sangat terharu dengan karaktor yang dipersembahkan oleh atuk tatkala setiap pagi. Ibu kandung aku sendiri pun tidak akan berbuat sedemikian kerana masih ramai tanggungan tetapi atuk aku hanya menanggung aku sahaja. Setiap malam aku akan dihidangkan dengan makanan oleh arwah atuk kerana arwah atuk sememangnya tahu bahawa aku akan lapar ketika waktu tengah-tengah malam. Apabila jam 8 maka akan terhidanglah makanan di atas meja tetapi arwah atuk akan memakan selepas waktu isyak dan aku selalu menunggu waktu isyak masuk dan solat bersama. Selepas selesai menunaikan solat Isyak kami akan makan makanan yang telah dihidangkan oleh arwah.

                Arwah atuk sangat menitikberatkan akan tiang agama iaitu SOLAT. Jika aku tidak ke sekolah pada hari sabtu dan ahad maka arwah atuk akan menjerit sehingga aku bangun untuk solat. Pernah suatu ketika aku terasa letih dan aku tidak bangun untuk solat Subuh, maka atuk telah memarahi aku seperti anaknya sendiri. Arwah atuk selalu mengingatkan aku bahawa soalan yang bakal ditanya di akhirat nanti mula-mulanya adalah solat jadi jangan pernah meninggalkan solat. Arwah atuk sentiasa mendengar ceramah pada waktu pagi di TV3 dan TV1. Biasanya pada waktu Subuh siaran tersebut akan menampilkan segmen ceramah motivasi dan kuliah subuh oleh penceramah agama selama sejam. Semasa tilawah Al-Quran berlansung di TV1, hampir setiap malam arwah atuk akan membuka siaran tersebut dan jika bekalan elektrik terputus atau pencawang mengalami gangguan, atuk akan membuka radio untuk mendengar ayat suci Al-Quran diperdengar dan dialunkan oleh qari dan qariah.

                Antara kesemua cucu, atuk lebih menyayangi abang aku kerana abang aku adalah cucu pertama yang menemaninya dan menjadi gelak ketawanya setelah arwah atuk jantan meninggal dunia. Hampir setiap hari abang aku menemani arwah atuk dan sehinggakan pada suatu malam arwah atuk pernah bercerita pada aku dimana abang aku menangis kerana tidak dapat tidur bersama arwah atuk pada usianya belasan tahun iaitu semasa kecil dan untuk itu abang aku berlari di tengah-tengah malam untuk mendapatkan arwah atuk di rumahnya. Justeru itu, saat itulah aku dapat rasakan yang atuk sangat sayang akan abang aku. Gambar abang aku disimpan didalam almari (gobok) iaitu gambar perkahwinan abang aku pada tahun 2004. Kadang kala apabila atuk memanggil nama aku, atuk kerap kali tersilap dengan memanggil nama abang aku. (cucu kesayangan memang seperti itu). Aku berasa sangat iri hati akan hal itu namun aku reda kerana atuk sudah tua dan kadang kala akan tersilap memanggil nama orang dan pernah juga atuk memanggil nama abang aku dengan nama aku. (That’s small matters).

                Setelah aku mendapat panggilan ke Universiti, atuk sangat gembira dengan aku kerana aku adalah satu-satunya anak LELAKI dalam adik beradik aku yang dapat menembusi ke alam universiti. Hal ini kerana beza aku dan abang aku adalah dari segi sikap, disebabkan itulah atuk aku menangis tatkala mendengar berita itu. Atuk aku telah menitiskan air mata dan berharap aku dapat belajar bersungguh-sungguh kerana itu adalah masa depan. Beliau tidak mahu aku mensia-siakan pelajaran kerana atuk tahu aku tidak boleh bekerja kebun dan satu-satunya peluang adalah belajar dengan bersungguh-sungguh. Sebelum aku berangkat ke Kedah, atuk sekali lagi menangis kerana aku akan meninggalkan dia dalam waktu yang lama dan atuk sangat khuatir akan kehidupan aku di Kedah nanti kerana atuk tidak mahu aku bercampur dengan pelajar-pelajar nakal dan terlibat dengan gejala merokok dan dadah. Aku bercakap kepada atuk iaitu jangan terlalu khuatir akan hal itu dan aku akan jaga diri dan akan selalu pulang ke rumah.

                Pada suatu hari atuk telah dimasukkan ke Hospital dan atuk mengalami strok iaitu tangan di sebelah kanan atau kiri atuk (aku tidak pasti) tidak boleh digerakkan. Bermula daripada waktu itu, atuk telah jatuh sakit dan menandakan perjalanan hidupnya semakin singkat. Akan soal atuk berada di hospital dan siapa yang selalu menjenguk dan menjaganya, aku tidak tahu kerana aku sedang berada di Kedah untuk meneruskan semester ke-4. Selepas kira-kira sebulan berada di Hospital, atuk telah berkehendak untuk pulang kerumah kerana beliau mahu meninggal dirumahnya sendiri. Waktu itu atuk sudah tidak berdaya dan perlu dibantu oleh kereta roda. Dipendekkan cerita, atuk telah selamat sampai ke rumah mak di Johor yang selama ini atuk barada di Hospital di Puchong, Selangor, rumah mak busu aku di Puchong dan rumah pak long aku di Subang. Sebelum atuk sakit dan berada di Hospital, atuk tinggal dalam keadaan sihat walafiat di rumah abang aku di KL. Setibanya di rumah, muka atuk sudah pucat dan atuk berkeadaan tidak bermaya, kurus dan seperti orang letih. Aku telah diberitahu oleh Kakak Ipar iaitu isteri abang aku iaitu atuk telah tenat dan aku sangat sedih ketika mendapat panggilan daripada kakak ipar aku itu. Untuk itu aku meminta gambar daripada kakak aku Fuziah yang secara kebetulan kakak aku itu sedang berpantang dirumah kerana melahirkan anak kedua. Aku masih menyimpan gambar atuk yang pucat lesi itu sehingga sekarang.

                Alhamdulillah pada 29 April 2013 aku telah dapat pulang awal untuk Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13) iaitu diberi cuti oleh pihak Universiti iaitu pada 3, 4 dan 5 April 2013. Pada 30/4 aku tidak mempunyai kelas, dan hari rabu 1 Mei adalah hari pekerja dan hari khamis 2 Mei aku telah ponteng kelas dan hari jumaat dan sabtu (3 & 4 Mei) aku tidak mempunyai kelas dan telah diberi cuti awal untuk PRU13. Justeru itu aku sangat bernasib baik kerana dapat membeli tiket dan dapat pulang kerumah untuk melihat atuk yang sudah tenat akan tetapi pada 30/4/2013 atuk telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 6.30pagi didalam waktu Subuh dan untuk itu aku berasa terkilan di dalam bas kerana tidak dapat meminta maaf dengan arwah sebelum arwah meninggal dunia. Aku telah tiba di rumah atuk pada pukul 9 pagi dan pada waktu itu begitu ramai orang di rumah atuk sehingga tidak muat untuk aku masuk menjengah atuk.

                Ketika masa untuk dibawa ke tanah perkuburan, ada satu sesi untuk menatap arwah dan kain kapan pada bahagian muka telah dibuka dan pada waktu itulah aku telah mengambil kesempatan untuk mengucup dahi arwah atuk buat kali terakhir dalam hidup aku dan alangkah sedihnya hati aku ketika itu hanya Allah sahaja yang maha mengetahuinya. Berjurai air mata aku membasahi baju aku selepas mengucup dahi arwah atuk kerana aku sangat menyayangi atuk sehinggalah aku meninggal dunia. Aku sendiri telah mengangkat jenazah arwah atuk untuk dimandikan bersama yang lain, disembahyangkan serta ketika mengandar jenazah atuk mengiringi jenazah ke tanah perkuburan. Ketika untuk memasukkan arwah atuk ke dalam liang lahad aku tidak dapat menahan sebak dan kotak memori aku ini sentiasa ingatkan jasa arwah ketika beliau hidup  pada ketika itu. Aku telah ditenangkan oleh mak dan kakak aku supaya jangan menangis seperti itu seolah-olah tidak membenarkan arwah atuk pergi dengan aman. Pada ketika itu, aku seperti sedang melepaskan bertan-tan air mata kerana aku dapat melihat dengan mata kepala aku sendiri atuk dikebumikan.

                Pada hari ini sudah 1 Ogos 2013 maka genaplah 3 bulan untuk atuk meninggalkan kami semua bermula 30 April, Mei, Jun dan Julai. Aku sangat rindu akan arwah atuk yang banyak berjasa kepada aku daripada aku kecil sehinggalah dewasa. Jika masa boleh berpatah semula, aku akan menjaga atuk dan tidak akan bersikap malas jika atuk menyuruh aku membuat sesuatu pekerjaan. Terima kasih aku ucapkan kepada IBU dan BAPA SAUDARA aku (ELA & KARIM) kerana telah membawa atuk pulang kerumah ketika atuk mahu pulang kerumahnya ketika atuk tenat. Aku tidak tahu bagaimana perasaan aku apabila aku mendengar TAKBIR RAYA pada 1 Syawal nanti tanpa arwah atuk yang sangat aku kasihi. “Atuk baliklah, Ajib rindu dengan atuk, atuk janganlah macam ini, ATUK ! ATUK ! ATUK” !  


Al- fatihah 


“IN MEMORY” (sitting in the left seat)


                Sekian sahaja untuk DIARI RAMADHAN HAFIZAM AREJEEP JLQ 2013 pada hari ni. Aku sangat rindu akan arwah atuk pada ketika itu semoga arwah atuk ditempatkan dengan orang-orang yang beriman amin. Terima kasih aku ucapkan kepada semua yang telah menjaga arwah atuk daripada Hospital sehinggalah saat-saat arwah untuk meninggal dunia. Alhamdulilllah semoga jasa kalian semua dibalas dengan ganjaran pahala dari-Nya. Semoga arwah tenang disana in sha Allah dan bertemu kita lagi di keesokan harinya pastinya GOOGLE selaku penaja utama Diari aku. Selamat menunaikan ibadah puasa dan selamat Bersahur.

Salam.. PEACE NO WAR !!! 

No comments:

Post a Comment