Fans of Johor Football



Tuesday, August 6, 2013

Diari Ramadhan Hafizam Arejeep JLQ 2013 Hari ke-27

27 Ramadhan 1434H bersamaan 5 August 2013M (Monday)

                Pada suatu ketika dahulu pengiriman kad raya kepada insan yang tersayang, rakan taulan dan sahabat handai merupakan aktiviti yang wajib ketika menjelangnya raya. Khidmat perkhidmatan seperti POS Malaysia amat diperlukan untuk mengirim kad raya sebelum tibanya hari raya sebagai tanda ingatan persahabatan dan kasih sayang sesama keluarga. Aku pernah menerima kad raya daripada rakan aku semenjak daripada sekolah rendah sehinggalah ketika aku menuntut di sekolah menengah. Ianya sangat meninggalkan satu kenangan yang abadi apabila kita sudah berjauhan akan tetapi dengan pengiriman kad raya sebagai wakil tulus ikhlas daripada rakan tersebut membuatkan aku juga ingin membalas kad raya tersebut pada tahun hadapannya. Antara kesemua kad raya yang dikirim kepada aku, ada satu kad raya yang telah aku ingat sehingga sekarang di mana orang yang mengirim kepadaku telah meninggal dunia akibat daripada kemalangan jalan raya ketika aku di sekolah menengah. Pada awalnya, pelajar perempuan tersebut telah mengirim sepucuk surat kepada aku sebagai tanda untuk mengenali aku dengan lebih rapat semasa aku di tingkatan 2 dan pelajar tersebut berada di tingkatan 1. Pengiriman sepucuk surat dilakukan oleh orang tengah yang merupakan saudara perempuan tersebut dan orang tengah tersebut adalah rakan sekelas aku di tingkatan 2. Pada masa itu, kami tidak mempunyai telefon bimbit maka kami hanya menggunakan surat menyurat sahaja untuk berhubung.

                Semasa kami berkenalan, pernah pada suatu ketika kami berjumpa di bawah pokok di dalam kawasan rumah penghulu ketika kami menunggu ibu dan bapa kami menjemput selepas pulang daripada sekolah. Sekolah kami bersebelahan dengan kompleks penghulu maka kami berjumpa di situ kerana di tempat itulah kami dijemput oleh keluarga kami. Pada masa itu, kami berjumpa tidak sampai 5 minit kerana ayah aku sudah tiba untuk menjemput aku. Kenapa di dalam sekolah kami tidak bertemu sedangkan kami bersekolah di dalam kawasan yang sama? Hal ini kerana aku tidak mahu terlalu heboh sehinggakan ramai kawan lelaki aku yang akan mendapat tahu tentang perkenalan aku dengan pelajar perempuan tersebut. Semasa aku di tingkatan 2 juga pelajar tersebut telah menukar sekolah kerana keluarga mereka telah berpindah rumah. Pada tahun itu pelajar perempuan tersebut telah mengirim kad raya kepada aku dan aku berasa sangat gembira ditambah pula beliau merupakan orang yang pertama yang telah mengirim kad raya kepada aku. Tersemat kata-kata di dalam kad raya tersebut yang boleh menyebabkan aku teringat kembali nostalgia ketika aku dan pelajar perempuan tersebut memulakan perkenalan pada tahun itu. Walaupun kad raya tersebut sudah hilang kerana sudah terlalu lama semenjak aku di bangku sekolah sehinggalah aku di alam pengajian kampus namun aku masih teringat akan kata-kata yang lebih kurang sama yang ditulis sendiri oleh pelajar tersebut di dalam sepucuk surat yang masih disimpan sehingga sekarang.

Semoga dapat mengejar cita-cita,
Semoga berjaya dan bahagia di dunia dan di akhirat
Semoga Hafizam tidak akan melupakan _______ (nama beliau)


-Ini adalah sekeping surat yang diberi oleh beliau di awal perkenalan kami-


                Aku telah jadikan ini sebagai suatu kenangan bagi aku sebagai tanda aku mengingati pelajar perempuan tersebut walaupun aku tidak menyimpan gambar beliau namun aku akan cuba mencari gambar beliau untuk disimpan bersama-sama sepucuk surat ini. Beliau telah kembali ke rahmatullah pada usia muda ketika aku di tingkatan 5 dan beliau berada di tingkatan 4 akibat kemalangan jalan raya. Al fatihah kepada arwah semoga kenangan aku bersama arwah akan kekal di dalam ingatan aku walaupun aku tidak pernah keluar bersama arwah dan hanya berhubung melalui surat sahaja.

                Mengenai kad raya, aku telah diminta oleh sahabat aku untuk memberikan alamat rumah kerana beliau ingin mengirimkan kad raya kepada aku namun sehingga ke 27 Ramadhan ini aku masih tidak mendapat sebarang kad raya daripada beliau. Hal ini telah membuatkan aku berasa pelik disebabkan beliau telah berniat untuk memberi kad raya dan ianya tidak seperti yang dijangkakan, akan tetapi aku tidaklah begitu mengharapkan kad raya tersebut disebabkan pada zaman sekarang kad raya sudah tidak mendapat sambutan seperti tahun terdahulu. Walaupun kad raya sudah tidak mendapat sambutan lagi namun aku masih mahukan sistem kad raya ini diteruskan dari tahun ke tahun kerana kad raya ini membuatkan kita kembali semula pada cara lama yang boleh memberi impak kepada si penerima. Secara kebiasaannya, apabila kad raya yang telah dikirim kepada kita sampai kerumah, kita akan menggantungkan kad raya tersebut di ruang tamu rumah sehingga menampakkan imej bahawa kita menyambut hari raya. Suasana seperti itu pernah terjadi dalam keluarga aku kerana aku mempunyai adik beradik yang ramai dan jika rakan adik beradik aku menghantar ucapan kad  hari raya maka akan menjadi banyak lalu akan digantung di dahan pokok plastik di dalam pasu bunga yang besarnya seperti pokok bunga kertas.

                Menu berbuka aku pada waktu berbuka tadi aku tidak sempat untuk menangkap gambar kerana terlupa tetapi ada sedikit juadah yang sempat aku mengambil gambar pada sebelah malamnya kira-kira jam 12 malam. Selain itu, ada daging goreng masak lemak, kuih muih, dan pelbagai jenis air seperti Ribena, oren dan sebagainya.

Mi Goreng + sotong, daging, bebola ikan dan sayur sawi



                Sekian sahaja untuk ruangan pada hari ini semoga kita berjumpa lagi di keesokan harinya dalam DIARI RAMADHAN HAFIZAM AREJEEP JLQ 2013 dan GOOGLE selaku penaja utama yang pastinya enjin pencarian terbaik anda. Selamat berpuasa dan selamat menunaikan ibadah sunat di bulan Ramadan ini pastinya bagi mengejar pahala yang berlipat kali ganda subhanallah.

Salam… PEACE NO WAR !!!



No comments:

Post a Comment