Fans of Johor Football



Wednesday, July 17, 2013

Diari Ramadhan Hafizam Arejeep JLQ 2013 Hari Kelapan

8 Ramadhan 1434H bersamaan 17 July 2013M (Wednesday)

                Semakin hari semakin banyak kelemumur yang ada di atas kulit kepalaku ini disebabkan akhir-akhir ini aku tidak menjaga tidur dengan lebih teratur dan selalu lewat untuk tidur pada waktu malam dan lewat untuk bangun pada keesokan harinya. Hal ini adalah disebabkan kekerapan melayari internet seperti “Facebook” dan juga “twitter”pada waktu malam sehingga ke pagi. Aku berkata sedemikian disebabkan mengikut kajian yang dilakukan oleh barat yang menyatakan tidur yang tidak mencukupi atau tidur yang tidak teratur boleh menyebabkan kelemumur semakin bertambah. Hal ini sangat merunsingkan aku kerana apabila menguis atau menyelak rambut, kelemumur akan jatuh ke bahu badan dan ianya semakin meningkat dari segi kuantiti. Semuanya adalah salah aku sendiri kerana mengabaikan tidur yang secukupnya pada waktu malam iaitu lewat untuk tidur hampir setiap hari. Perkara ini mungkin hanya berlaku kepada sesetengah orang sahaja akan tetapi kebanyakan untuk kelemumur membiak salah satu penyebabnya adalah daripada kegagalan menjaga waktu tidur.

Ini adalah maklumat palsu !!! hahahahaha… Tidur dan kelemumur tiada kena mengena !!! haha…


                Masalah kelemumur adalah disebabkan oleh Seborheic Dermatitis iaitu berlakunya gatal-gatal dan kulit kepala berminyak, kulit kepala kering dan mengalami keruping (psoriasis) disebabkan cuaca panas yang melampau dan pengumpulan sel-sel mati di kulit kepala, kurang mencuci rambut, dan hal yang sering berlaku adalah sensitif terhadap produk di pasaran seperti syampoo yang dipakai oleh seseorang. Aku telah mengalami masalah kelemumur pada hari ini kerana rambut aku sentiasa kering dan aku sudah kadang-kadang memakai pelbagai jenis shampoo dalam suatu masa. Hal ini telah memungkinkan aku untuk mendapat kelemumur.


                Hari ini bibir aku mengalami tanda-tanda kekeringan kerana kekurangan untuk mengambil air yang banyak ketika sahur dan berbuka. Hal ini bukan sahaja berlaku pada bulan Ramadhan akan tetapi ianya kerap berlaku di bulan-bulan lain. Pernah suatu ketika bibir aku mengalami pendarahan dan ianya tidak sakit tetapi perangai aku sendiri yang menyebabkan bibir aku terasa pedih dan sakit kerana aku sering kali mengupas bibir aku sewaktu bibir tersebut kering. Perkara ini sangat membuatkan aku berasa mahu mengambil air dengan kuantiti yang banyak pada setiap hari, bukan sekadar untuk memulihkan bibir yang kering malah membantu tubuh badan dalam penyaluran oksigen ke dalam badan sewaktu pernafasan dan pengambilan air yang banyak juga dapat memberikan otak kita cepat menangkap ilmu yang dipelajari dengan cepat. Sebelum ini rakan ada memberikan sedikit nasihat supaya membeli gincu bibir bagi memastikan bibir sentiasa basah dan tidak kekeringan jika aku malas untuk mengambil air dalam kuantiti yang banyak. Aku bukan tidak suka untuk meminum minuman seperti air kosong akan tetapi aku akan kerap ke tandas apabila mengambilnya dalam kuantiti yang banyak. Hahahahaha..


                Selepas maghrib tadi telah kedengaran bunyi meriam. Aku tidak mengetahui jenis apakah meriam tersebut adakah meriam tanah, meriam buluh mahupun meriam besi atau tin tetapi bunyi meriam tersebut kadang kala kuat dan kadang kala perlahan. Bunyi yang tercipta selepas maghrib tadi tidak terlalu kuat dan hanya seperti bunyi kentut manusia sahaja akan tetapi selepas isyak iaitu waktu antara jam 11 hingga 12 malam kedengaran meriam sudah kuat kedengaran mungkin selepas beberapa kali membuat ujian dan akhirnya hasil bunyi yang begitu memberangsangkan. Aku pernah beberapa kali melihat orang bermain meriam iaitu meriam buluh dan tanah. Pertama kali aku bermain meriam adalah ketika aku di sekolah menengah bersama sedara aku di belakang rumah sendiri iaitu bermain meriam tanah dan selepas itu aku bermain pula meriam yang diperbuat daripada besi. Pada waktu sekarang aku sudah jarang bermain meriam bukan kerana takut akan tetapi berwaspada jika berlaku perkara yang tidak diingini. Aku sangat menyukai bunyi meriam kerana ianya sebagai meriuh dan memeriahkan suasana untuk umat Islam meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti selain bunyi mercun.

                Apabila bercakap mengenai hari raya nanti, aku ingin memberikan sedikit tips kepada mereka yang ingin menyediakan juadah ketika hari raya nanti. Barang seperti gula, minyak masak, tepung dan juga beras haruslah dibeli terlebih dahulu dalam kuantiti yang banyak kerana ianya memungkinkan kehabisan barang di pasaraya mahupun di kedai runcit. Penjual selalu mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan ketika musim perayaan dan hal ini sangat meresahkan pengguna yang ingin menggunakan barang tersebut. Pernah juga berlaku barang seperti gula disimpan didalam gudang iaitu disorokkan oleh broker untuk menaikkan harga barangan ketika pengguna resah dan gelisah kehabisan gula di pasaran. Justeru itu aku ingin memberitahu dan memberi nasihat kepada semua agar tidak membeli di saat-saat akhir kerana pada masa tersebut penjual akan sentiasa mengambil kesempatan untuk menaikkan harga sesuka hati mereka.

                Itu sahaja untuk hari yang kelapan Ramadhan semoga anda semua sentiasa memberikan yang terbaik bagi memastikan hari anda di bulan Ramadhan ini sentiasa mendapat keberkatan dari-Nya. Semoga berjumpa lagi untuk keesokan harinya dalam DIARI RAMADHAN HAFIZAM AREJEEP JLQ 2013 hanya di bulan Ramadhan ini. Salam….

Sekian.. PEACE NO WAR !!!

No comments:

Post a Comment