Fans of Johor Football



Wednesday, August 7, 2013

Diari Ramadhan Hafizam Arejeep JLQ 2013 Hari ke-28


28 Ramadhan 1434H bersamaan 6 August 2013M (Tuesday)

                Alhamdulillah pada hari ini telah memasuki hari yang ke 28 Ramadan dan bermakna sudah 28 hari kita semua berpuasa iaitu hampir sebulan. Jika mengikut kiraan dalam Islam, malam ini merupakan malam yang ke 29 Ramadan dan merupakan malam terakhir umat Islam mengerjakan ibadat solat sunat tarawih. Aku merasakan masa bergerak begitu pantas sehinggakan tidak sedar ianya berlalu dan pergi pada setiap tahun. Jika pada malam esok anak bulan telah kelihatan maka dengan ini bermakna pada malam esok akan bermulanya orang ramai mengalunkan Takbir Raya beramai-ramai di masjid dan surau di seluruh negara dan untuk itu satu pengumuman penting tarikh hari raya puasa akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di kaca televisyen dan radio. Pada tahun sebelum ini tokoh seperti Y.M. Engku Tan Sri Dato Sri Ibrahim bin Engku Ngah telah memegang jawatan tersebut iaitu selama 22 tahun sejak tahun 1989 dan berakhir tahun 2001 namun jawatan tersebut telah digantikan oleh Y.Bhg. Datuk Syed Danial bin Syed Ahmad pada tahun itu. Jika anda semua tidak mengenali Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang baru maka aku mengesyorkan anda mencarinya di GOOGLE.

Ini adalah pengumuman tarikh 1 Ramadhan 1434H pada tahun 2013M


            Pada hari ini bermulalah aktiviti untuk mengemas rumah bersama adik beradik aku yang lain. Mereka membuat kerja-kerja di dalam rumah dan bagi aku pula ditugaskan untuk menyapu sampah di luar rumah namun pada hari ini aku tidak sempat menghabiskan kerja tersebut kerana cuaca terlalu panas dan berbahang. Seawal jam 8 pagi aku sudah berada di luar rumah untuk membersihkan halaman rumah yang dipenuhi rumput yang telah dipotong menggunakan mesin rumput pada hari semalam namun setelah jarum jam menunjukkan angka 10, cuaca terlalu panas dan aku telah berlari masuk ke rumah kerana sudah tidak tahan setelah berada di bawah pancaran matahari yang sungguh terik. Pada waktu itu, aku tidak berasa dahaga kerana pada waktu sahur aku telah meminum air kosong dalam kuantiti yang banyak dan jika bukan kerana cuaca yang sungguh terik sudah lama aku meneruskan kerja-kerja menyapu sampah sehingga siap sepenuhnya. Aku dapat merasakan di akhir Ramadan ini cuaca begitu panas kerana hujan sudah lama tidak turun dan untuk itu aku tidak mahu mengambil risiko jika bekerja di bawah cuaca yang terik kerana ditakuti akan terkena demam dan pitam.

Antara menu yang disajikan ketika berbuka puasa adalah seperti berikut:


Sambal Udang Bonda + petai


Jantung pisang + kuah asam



Ikan Caru


Tauhu Goreng


Daging masak kuah Lemak Cili Padi


Pencuci Mulut


                Alhamdulillah apabila berbuka beramai-ramai pastinya kelainan tercipta dan daripada tidak berselera maka akan sangat berselera ketika menikmati juadah. Hal ini mungkin akan tidak dapat dirasai oleh sesetengah insan namun bagi aku ianya sebagai satu kenikmatan untuk berbuka puasa apabila orang yang kita sayangi dan darah daging kita sendiri berkumpul beramai-ramai pastinya membuatkan aku bersyukur kepada Ilahi di atas kurniaan yang diberikan semoga ianya akan sentiasa begitu. Amin.

                Sekian sahaja untuk ruangan pada hari ini semoga kita berjumpa lagi di keesokan harinya dalam DIARI RAMADHAN HAFIZAM AREJEEP JLQ 2013 pastinya GOOGLE selaku penaja utama iaitu enjin pencarian terbaik anda. Pada hari esok semakin ramai saudara mara aku akan pulang kerumah disebabkan adik beradik di sebelah mak aku ingin berkumpul di rumah aku untuk membuat kenduri arwah dan hari raya. Selamat berpuasa dan selamat bersahur !

Salam.. PEACE NO WAR !!!...





Tuesday, August 6, 2013

Diari Ramadhan Hafizam Arejeep JLQ 2013 Hari ke-27

27 Ramadhan 1434H bersamaan 5 August 2013M (Monday)

                Pada suatu ketika dahulu pengiriman kad raya kepada insan yang tersayang, rakan taulan dan sahabat handai merupakan aktiviti yang wajib ketika menjelangnya raya. Khidmat perkhidmatan seperti POS Malaysia amat diperlukan untuk mengirim kad raya sebelum tibanya hari raya sebagai tanda ingatan persahabatan dan kasih sayang sesama keluarga. Aku pernah menerima kad raya daripada rakan aku semenjak daripada sekolah rendah sehinggalah ketika aku menuntut di sekolah menengah. Ianya sangat meninggalkan satu kenangan yang abadi apabila kita sudah berjauhan akan tetapi dengan pengiriman kad raya sebagai wakil tulus ikhlas daripada rakan tersebut membuatkan aku juga ingin membalas kad raya tersebut pada tahun hadapannya. Antara kesemua kad raya yang dikirim kepada aku, ada satu kad raya yang telah aku ingat sehingga sekarang di mana orang yang mengirim kepadaku telah meninggal dunia akibat daripada kemalangan jalan raya ketika aku di sekolah menengah. Pada awalnya, pelajar perempuan tersebut telah mengirim sepucuk surat kepada aku sebagai tanda untuk mengenali aku dengan lebih rapat semasa aku di tingkatan 2 dan pelajar tersebut berada di tingkatan 1. Pengiriman sepucuk surat dilakukan oleh orang tengah yang merupakan saudara perempuan tersebut dan orang tengah tersebut adalah rakan sekelas aku di tingkatan 2. Pada masa itu, kami tidak mempunyai telefon bimbit maka kami hanya menggunakan surat menyurat sahaja untuk berhubung.

                Semasa kami berkenalan, pernah pada suatu ketika kami berjumpa di bawah pokok di dalam kawasan rumah penghulu ketika kami menunggu ibu dan bapa kami menjemput selepas pulang daripada sekolah. Sekolah kami bersebelahan dengan kompleks penghulu maka kami berjumpa di situ kerana di tempat itulah kami dijemput oleh keluarga kami. Pada masa itu, kami berjumpa tidak sampai 5 minit kerana ayah aku sudah tiba untuk menjemput aku. Kenapa di dalam sekolah kami tidak bertemu sedangkan kami bersekolah di dalam kawasan yang sama? Hal ini kerana aku tidak mahu terlalu heboh sehinggakan ramai kawan lelaki aku yang akan mendapat tahu tentang perkenalan aku dengan pelajar perempuan tersebut. Semasa aku di tingkatan 2 juga pelajar tersebut telah menukar sekolah kerana keluarga mereka telah berpindah rumah. Pada tahun itu pelajar perempuan tersebut telah mengirim kad raya kepada aku dan aku berasa sangat gembira ditambah pula beliau merupakan orang yang pertama yang telah mengirim kad raya kepada aku. Tersemat kata-kata di dalam kad raya tersebut yang boleh menyebabkan aku teringat kembali nostalgia ketika aku dan pelajar perempuan tersebut memulakan perkenalan pada tahun itu. Walaupun kad raya tersebut sudah hilang kerana sudah terlalu lama semenjak aku di bangku sekolah sehinggalah aku di alam pengajian kampus namun aku masih teringat akan kata-kata yang lebih kurang sama yang ditulis sendiri oleh pelajar tersebut di dalam sepucuk surat yang masih disimpan sehingga sekarang.

Semoga dapat mengejar cita-cita,
Semoga berjaya dan bahagia di dunia dan di akhirat
Semoga Hafizam tidak akan melupakan _______ (nama beliau)


-Ini adalah sekeping surat yang diberi oleh beliau di awal perkenalan kami-


                Aku telah jadikan ini sebagai suatu kenangan bagi aku sebagai tanda aku mengingati pelajar perempuan tersebut walaupun aku tidak menyimpan gambar beliau namun aku akan cuba mencari gambar beliau untuk disimpan bersama-sama sepucuk surat ini. Beliau telah kembali ke rahmatullah pada usia muda ketika aku di tingkatan 5 dan beliau berada di tingkatan 4 akibat kemalangan jalan raya. Al fatihah kepada arwah semoga kenangan aku bersama arwah akan kekal di dalam ingatan aku walaupun aku tidak pernah keluar bersama arwah dan hanya berhubung melalui surat sahaja.

                Mengenai kad raya, aku telah diminta oleh sahabat aku untuk memberikan alamat rumah kerana beliau ingin mengirimkan kad raya kepada aku namun sehingga ke 27 Ramadhan ini aku masih tidak mendapat sebarang kad raya daripada beliau. Hal ini telah membuatkan aku berasa pelik disebabkan beliau telah berniat untuk memberi kad raya dan ianya tidak seperti yang dijangkakan, akan tetapi aku tidaklah begitu mengharapkan kad raya tersebut disebabkan pada zaman sekarang kad raya sudah tidak mendapat sambutan seperti tahun terdahulu. Walaupun kad raya sudah tidak mendapat sambutan lagi namun aku masih mahukan sistem kad raya ini diteruskan dari tahun ke tahun kerana kad raya ini membuatkan kita kembali semula pada cara lama yang boleh memberi impak kepada si penerima. Secara kebiasaannya, apabila kad raya yang telah dikirim kepada kita sampai kerumah, kita akan menggantungkan kad raya tersebut di ruang tamu rumah sehingga menampakkan imej bahawa kita menyambut hari raya. Suasana seperti itu pernah terjadi dalam keluarga aku kerana aku mempunyai adik beradik yang ramai dan jika rakan adik beradik aku menghantar ucapan kad  hari raya maka akan menjadi banyak lalu akan digantung di dahan pokok plastik di dalam pasu bunga yang besarnya seperti pokok bunga kertas.

                Menu berbuka aku pada waktu berbuka tadi aku tidak sempat untuk menangkap gambar kerana terlupa tetapi ada sedikit juadah yang sempat aku mengambil gambar pada sebelah malamnya kira-kira jam 12 malam. Selain itu, ada daging goreng masak lemak, kuih muih, dan pelbagai jenis air seperti Ribena, oren dan sebagainya.

Mi Goreng + sotong, daging, bebola ikan dan sayur sawi



                Sekian sahaja untuk ruangan pada hari ini semoga kita berjumpa lagi di keesokan harinya dalam DIARI RAMADHAN HAFIZAM AREJEEP JLQ 2013 dan GOOGLE selaku penaja utama yang pastinya enjin pencarian terbaik anda. Selamat berpuasa dan selamat menunaikan ibadah sunat di bulan Ramadan ini pastinya bagi mengejar pahala yang berlipat kali ganda subhanallah.

Salam… PEACE NO WAR !!!



Monday, August 5, 2013

Diari Ramadhan Hafizam Arejeep JLQ 2013 Hari ke-26

26 Ramadhan 1434H bersamaan 4 August 2013M (Sunday)

Antara menu pada hari ini adalah seperti berikut:

“Papric Ayam”


“Sambal Hati Ayam”


“Koktail”


                Apabila adik beradik telah berkumpul beramai-ramai maka akan ada sahaja “perunding” mereka atau gelagat mereka tatkala mahu membuat menu berbuka puasa. Menu yang sangat “special” pada hari ini adalah sudah tentunya “papric ayam” kerana ianya jika dijual di warung berharga RM3.50 dalam satu pinggan akan tetapi dengan berbuat sendiri maka akan lebih jimat dan perencahnya akan lebih pekat jika dibandingkan di warung. Rasanya sangat sedap sehingga menjilat jari akan tetapi aku menjilat sudu kerana aku memakai sudu dan garpu. Hehehehe….

                Pastinya dalam menempuh beberapa hari sahaja lagi untuk bulan Syawal menjelang, sudah pastinya ramai yang telah membuat kuih raya seperti Almond London, tat nenas, nestle cornflake, bahulu, tempeyek, kerepek pisang dan pelbagai lagi  jenis kuih raya. Hal itu mungkin telah menjadi acara atau aktiviti zaman berzaman lagi atau lebih tepat daripada zaman dahulu kala lagi akan tetapi ianya hanya berpaksikan orang yang benar- benar rajin untuk membuat kuih raya. Hal ini kerana pada zaman sekarang, kuih raya telah banyak dijual di pasaran dan hampir kesemua penduduk bandar membeli kuih raya berbanding membuat sendiri di rumah. Hal ini kerana faktor rutin harian yang sangat sibuk bekerja sehingga tiada masa untuk melakukan pekerjaan tersebut. Justeru itu kuih raya di pasaran telah menjadi pilihan pengunjung yang memenuhi tempat seperti “uptown”, tempat membeli belah dan di bazar. Ada sesetengah orang memanggil kuih raya yang dibeli tanpa membuatnya sendiri di rumah iaitu “kuih tunjuk”. Hal ini ada benarnya juga kerana setiap kali kita mahu membeli kuih raya kita akan menunjuk kepada kuih raya tersebut supaya penjual dapat mengambilnya dan sebagai isyarat bahawa kita mahu membeli kuih tersebut. Hahaha…

                Bagi kuih di rumah aku, mak aku juga akan membeli “kuih tunjuk” kerana mak tidak sempat untuk membuat kuih raya. Mak hanya sempat untuk membuat kerepek pisang dan tempeyek sahaja. Hampir setiap tahun mak akan membeli kuih raya yang bermacam- macam jenis yang kadang kala apabila dimakan tidak sesedap seperti gambar kuih raya tersebut. Aku pernah terkena ketika beraya dan berkunjung ke rumah saudara iaitu aku telah mencapai satu balang kuih raya yang jika dilihat daripada segi bentuk dan corak kuih raya tersebut, aku mahu memakan kesemuanya akan tetapi selepas merasai sendiri kuih raya tersebut amatlah tidak sesedap seperti yang digambarkan oleh bentuk dan corak kuih tersebut. Aku berasa sangat menyesal akan hal yang tidak dapat dijangka tersebut dan pada ketika itulah tekak aku berasa loya dan mahu memuntahkan semula kuih raya tersebut kerana pada masa itu pula tiada air ketika kami sekeluarga duduk berbual dan berborak kerana anak tuan rumah sedang membuat air di dapur.

Ini adalah kuih raya yang diberi oleh kakak aku yang dibeli di pasaran iaitu “Almond London”


                Di rumah aku pada hari ini begitu banyak lalat yang hadir kerana pada hari ini ayah aku telah membeli ayam untuk dimasak pada hari raya nanti namun setelah di proses ayah aku membawa pulang untuk dibersihkan oleh mak dan kakak aku. Ketika membersihkan ayam tersebut, begitu banyak lalat yang mengerumuni lantai, meja, malah ayam itu sendiri. Kakak dan mak aku berasa kurang selesa akan kejadian itu dan mereka berasa kekok untuk menjalankan aktiviti membersihkan kulit ayam dengan kedatangan lalat yang seperti mengadakan pesta. Namun perkara itu tidak dapat diatasi jika bilangan serangga tersebut semakin banyak yang hadir.

                Menu ketika aku berkunjung ke masjid pada hari ini ialah “Bubur Lambuk” yang dibuat sendiri oleh mereka yang diberikan senarai untuk membawa juadah moreh pada setiap hari di bulan Ramadan. Bubur lambuk itu sangat sedap kerana ianya “FREE” hahahaha namun aku tidak sempat untuk mengambil gambar kerana “syok” makan bubur tersebut.

                Sekian sahaja untuk hari ini semoga kita berjumpa lagi di keesokan harinya dalam DIARI RAMADHAN HAFIZAM AREJEEP JLQ 2013 yang pastinya GOOGLE selaku penaja utama blog aku ini dan ianya merupakan enjin pencarian terbaik anda. Selamat berpuasa aku ucapkan dan selamat menunaikan ibadah di dalam bulan yang mulia ini dimana syaitan telah dirantai. Aku ingin memberi sedikit nasihat iaitu dengan mengawal nafsu anda ianya akan mengelakkan anda daripada membazir di dalam bulan puasa ini In sha Allah.

Salam.. PEACE NO WAR !!!




Sunday, August 4, 2013

Diari Ramadhan Hafizam Arejeep JLQ 2013 Hari ke-25

25 Ramadhan 1434H bersamaan 3 August 2013M (Saturday)

                Assalammualaikum WBT dan salam sejahtera kepada semua pengunjung blog aku ini, aku ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada anda semua dan diharapkan puasa dan amalan kita sentiasa diterima oleh-Nya. Aku ingin memohon maaf kerana terlewat untuk menulis pada hari ke 25 Ramadhan ini dan akan tetapi aku cuba untuk menulis sedikit mengenai aktiviti dan topik pada hari ini. Pernahkah anda semua bekerja di bazar Ramadhan di mana satu-satunya tempat tumpuan utama ketika Ramadan menjelma sepanjang 30 hari iaitu sebulan berpuasa? Jika anda pernah bekerja sebagai jurujual di bazar Ramadan ianya sangat meletihkan badan. Bagi bazar Ramadan di tempat aku, ianya akan dibuka seawal jam 3 petang dan bermula pada masa tersebut akan semakin ramai pengunjung yang hadir ke bazar untuk membeli juadah berbuka puasa sehinggalah masa untuk berbuka pada jam 7.23 minit malam. Aku telah pergi ke bazar Ramadan pada hari ini kerana telah diajak oleh mak aku untuk mencari juadah seperti kuih muih, murtabak, pelbagai jenis air dan lauk pauk untuk dihidangkan apabila masuknya waktu berbuka puasa. Kakak aku Zuraimi telah ditugaskan untuk memasak di rumah sementara mak dan aku ke bazar. Hal ini kerana kakak aku yang berada di Kuala Lumpur dan Melaka ingin pulang ke rumah untuk bersama-sama berbuka puasa bersama suami dan anaknya sebelum timbulnya bulan Syawal. Mereka akan bercuti dan pulang ke rumah semula semasa Hari Raya Aidilfitri nanti.

                Bekerja di bazar Ramadan sungguh meletihkan badan dan menguji ketahanan fizikal dan mental lebih-lebih lagi kita menghadap pelbagai jenis makanan yang hanya boleh dipandang dan dibeli tetapi tidak dapat untuk dimakan pada waktu tersebut. Aku berkata ianya menguji ketahanan fizikal adalah kerana kita berniaga tidak boleh duduk sentiasa kerana jika sedemikian, pelanggan akan lari dan tidak akan singgah ke gerai kita, justeru itu kita perlu “promote” makanan yang dijual dan mulut kita perlu sentiasa ramah walaupun kita tidak larat untuk berkata sentiasa akibat cuaca yang sangat panas dan haus iaitu dahaga yang boleh menyebabkan tekak kita terasa kering lalu meletihkan badan. Daripada sudut mental pula kita perlu berdepan dengan situasi bunyi yang sangat bising dengan kenderaan dan bunyi manusia serta gumpalan asap jika peniaga lain membakar sate atau ayam percik sehingga baju kita berbau asap. Aku pernah beberapa kali melalui gerai di bazar dimana masakan yang menggunakan bara api untuk dimasak seperti otak-otak, ayam percik, ikan bakar dan sebagainya telah mengeluarkan asap yang banyak yang boleh menyebabkan mata kita pedih dan baju berbau asap. Itu adalah aku sebagai pelanggan dan pengunjung bazar akan tetapi peniaga lain yang setiap hari berniaga di situ akan sentiasa pulang ke rumah dengan berbau asap. Hehehehe.. Aku tidak sanggup untuk bekerja di bazar Ramadan jika aku ditawarkan bekerja seperti itu biarpun dengan gaji yang tinggi dalam satu hari akan tetapi bekerja di bazar Ramadan tidaklah mempunyai gaji yang terlalu tinggi tetapi gaji diukur daripada makanan yang dijual dalam sehari kepada pengunjung bazar.

                Aku ada terbaca di laman twitter, lelaki yang pergi ke bazar Ramadan mempunyai 3 tujuan iaitu:

·         Mencari makanan untuk berbuka puasa
·         Berjumpa rakan-rakan
·         Mencari pasangan wanita (usha awek)

                “Retweet” daripada orang ramai adalah sangat tinggi dan ianya adalah betul barangkali. Hal ini mungkin akan berlaku kepada semua remaja lelaki yang pastinya mahukan kebebasan untuk berkawan dan berhubung antara satu sama yang lain. Hal ini aku tidak perlu untuk dibahas disebabkan ianya adalah betul sama sekali. Hahahaha….

                Malam ini aku telah dihidangkan oleh orang yang membawa moreh di masjid iaitu ayam goreng KFC. Apabila orang sudah membawa juadah ke masjid, kita perlu memakan makanan tersebut kerana kadang kala orang yang membawa moreh akan berasa kecewa apabila kita dan kariah masjid yang lain tidak memakan juadah yang dibawa oleh mereka dan hal ini memungkinkan orang yang membawanya akan berkecil hati atau tersinggung lalu mereka enggan untuk membawa juadah tersebut pada tahun hadapan. Justeru itu aku memakan sedikit walaupun sudah kekenyangan selepas berbuka tadi.


Ini adalah gambar yang sempat aku ambil.



Kek “Cheese” ini pula disajikan selepas berbuka yang dibeli oleh kakak aku


                Sekian sahaja untuk hari ini semoga kita berjumpa lagi pada hari esok dalam DIARI RAMADHAN HAFIZAM AREJEEP JLQ 2013 pastinya GOOGLE selaku penaja utama dalam pembikinan blog aku ini dan aku ingin mengucapkan selamat berpuasa dan kita jumpa lagi.

Salam… PEACE NO WAR !!! 



Saturday, August 3, 2013

Diari Ramadhan Hafizam Arejeep JLQ 2013 Hari ke-24

24 Ramadhan 1434H bersamaan 2 August 2013M (Friday)

                Alhamdulillah pada hari ini aku telah mendapat duit raya daripada Yang Berhormat (YB) di tempat aku kerana aku telah menolong Jabatan Kebajikan Masyarakat di tempat aku untuk pengagihan duit raya dan bantuan kebajikan untuk warga emas, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU) dan fakir miskin. Pada mulanya aku telah diajak oleh “member” di tempat aku untuk menghadiri satu majlis berkenaan yang telah diberitahu oleh “member” iaitu pada sebelah malamnya selepas solat tarawih namun aku tidak berjanji sama ada aku mahu turut serta atau sebaliknya pada awal pagi esok. Hal ini kerana aku amat sukar untuk terjaga di awal pagi iaitu seawal jam 9 pagi sudah berkumpul di Dewan Serbaguna dan majlis akan bermula pada jam 9.30 pagi. Alhamdulillah dengan niat yang baik di bulan yang baik aku tersedar apabila “member” aku telah datang ke rumah aku pada pukul 8.45 pagi dan telah mengejutkan aku setelah mereka gagal dalam menghubungi telefon bimbit aku. Setelah bersiap, aku bergegas ke dewan serbaguna yang berhampiran dengan tempat aku dimana program tersebut berlangsung. Selama 1 jam kami menunggu ketibaan YB iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di tempat aku dan akhirnya YB sampai pada jam 10.30 pagi. Jika pada waktu tersebut bekas Perdana Menteri iaitu Tun Dr. Mahathir yang hadir, beliau akan tiba tepat pada masanya dan akan tiba sebelum masanya untuk berucap kerana Tun adalah seorang yang “punctual” tetapi sebaliknya bagi YB di tempat aku. Tolong jangan bersikap begini lagi wahai YB kerana aku amat kasihan akan warga emas kerana mereka telah hadir di awal pagi dan mungkin mereka akan berasa penat kerana bulan puasa. Sekadar renungan kepada mereka yang bergelar pemimpin. Huhuhu…


                Setelah majlis tamat, kami semua ditugaskan untuk mengemaskan dewan tersebut dan kami telah mengemaskan secara beramai-ramai dan hanya beberapa barang peralatan sahaja aku sempat menolong untuk diangkat dan dikemaskan seperti kerusi, meja, alas meja, “rostrum”, dan wayar penyambung. Hal ini kerana pemuda begitu ramai dan hasilnya kerja selesai dengan cepat. Aku tidak menyangka akan mendapat duit raya daripada YB iaitu sebanyak RM50 setiap seorang yang menolong dalam pengagihan barang-barang. “Member” aku ada memberitahu aku bahawa jika aku tidur pada pagi tadi dan tidak hadir ke majlis tersebut berkemungkinan aku tidak akan mendapat duit raya daripada YB. Syukur Alhamdulillah rezeki aku dan pemuda yang lain di pagi hari kerana mendapat sesuatu imbuhan daripada YB. YB ini telah memegang jawatan sebagai ADUN bagi penggal yang pertama dan beliau merupakan seorang “exco” yang memegang portfolio dalam kerajaan Negeri Johor. Untuk barang-barang yang diagihkan oleh YB kepada penerima bantuan adalah seperti di dalam gambar ini seperti minyak masak, air minuman pekat, ketupat segera dan lain-lain lagi selain daripada bantuan duit raya.


Ini adalah contoh gambar di penjuru kiri pentas namun ada banyak lagi di sebelah kanan pentas

                Hari ini aku telah memakan juadah untuk berbuka puasa yang diberikan oleh mak sedara aku iaitu Mak Ngah aku yang merupakan kakak bagi ayah aku yang tinggal berhampiran dengan rumah. Menu apakah agaknya yang diberikan oleh mak ngah aku? Adakah anda semua tahu? Jika anda mahu tahu, tolong ketuk ketampi dulu. Hahaha… Menunya adalah Nasi Lemak yang dibuat sendiri oleh mak ngah aku. Sebelum ini mak ngah telah membawa moreh di masjid iaitu nasi lemak yang dibungkus didalam bekas polimer dan apabila aku merasa nasi lemak yang dibuat oleh mak sedara aku itu, aku dapat rasakan nasi lemak beliau sangat sedap dan aku mahu saja mengambil sebungkus lagi akan tetapi ianya tidak mencukupi. Justeru itulah aku menyuruh anak mak ngah iaitu Khatijah atau “Cik Katty” untuk menyuruh emaknya membuat nasi lemak disebabkan Cik Katty juga tidak dapat untuk merasa selepas mak ngah membungkus kerana apabila membungkus ianya hanya cukup untuk kariah masjid sahaja. Justeru itu Cik Katty telah memberitahu aku bahawa beliau ingin menyuruh emaknya membuat sekali lagi untuknya dan apabila aku tahu akan hal itu, aku terus memaklumkan bahawa aku juga mahukannya kerana sedap. Hehehe.. Secara tidak semena-mena pada petang tadi Nasi Lemak sampai ke rumah aku yang dihantar oleh Cik Katty. Aku sangat gembira dan ketika berbuka aku memakan seperti orang yang sedang kelaparan. Hehehe.. Inilah Nasi Lemak yang dihantar oleh Cik Katty pada petang tadi. Alhamdulillah “rezeki dari Allah” bak kata penjual BIOAURA hahaha…


Nyum nyum nyum jemput makan Hehehehe….

                Pada hari ini kakak aku yang sedang menuntut di Institut Pendidikan Guru di Johor Bahru telah pulang ke rumah untuk 3 minggu dan telah berbuka bersama-sama pada petang tadi. Hal ini adalah cuti seminggu sebelum raya dan ditambah dengan 2 minggu selepas raya iaitu sama seperti pelajar sekolah cuti.

                Sekian sahaja untuk ruangan diari Ramadan pada hari ini semoga kita berjumpa lagi di keesokan harinya dalam DIARI RAMADHAN HAFIZAM AREJEEP JLQ 2013 yang pastinya GOOGLE selaku penaja utama aku dalam pembikinan blog ini. Selamat berpuasa dan selamat menunaikan ibadah pada 10 Ramadhan terakhir ini semoga kita semua dapat menhidupkan malam 7 likur ini. Kita jumpa lagi.

Salam… PEACE NO WAR !!!


Thursday, August 1, 2013

Diari Ramadhan Hafizam Arejeep JLQ 2013 Hari ke-23

23 Ramadhan 1434H bersamaan 1 August 2013M (Thursday)

                Pernahkah anda terdengar bunyi suara burung hantu atau “Manuk Guwek” pada waktu malam? Jika pernah anda adalah insan yang sangat bertuah kerana dapat mendengar bagaimana lunak dan merdunya suara burung hantu. Ramai di luar sana yang tidak dapat mendengar malah tidak pernah mendengar bunyi burung hantu langsung pada waktu malam. Namun pada zaman yang serba moden ini kita dapat melihat burung hantu di zoo akan tetapi tidak dapat mendengar suara burung hantu itu di zoo kerana zoo hanya dibuka pada waktu siang dan burung hantu hanya berbunyi ketika waktu malam kerana burung hantu tidak secergas manusia yang mana pada waktu siang mereka tidur dan pada sebelah malamnya masa untuk mereka keluar mencari makanan dan kadang kala mengawan. Bagi aku, mendengar bunyi burung hantu pada waktu malam adalah perkara biasa dan kadang kala sangat kerap kerana aku selalu tidur lewat. Kata orang tua-tua dahulu, apabila kita mendengar ada bunyi burung hantu di tengah-tengah malam menandakan ada orang yang mahu meninggal dunia iaitu jiran yang terdekat dengan kita dalam suatu kawasan penempatan. Perkara ini pada awalnya aku sangat percaya dan hampir terbawa-bawa di dalam mimpi sehinggakan bunyi burung hantu pada waktu malam sangat menakutkan aku apabila aku seorang sahaja yang tidak tidur ketika itu.

                Pada malam semalam iaitu semasa aku mengarang diari ramadan pada awal pagi kira-kira jam 1 pagi sehingga 2 pagi aku terdengar bunyi burung hantu yang sangat sayup seperti bunyian alatan muzik biola yang kadang kala timbul dan kadang kala tenggelam. Pada waktu itu ayah dan mak aku sudah dibuai mimpi sementara aku semakin gigih untuk menyiapkan diari sehinggalah aku berasa terkejut apabila mendengar suara seperti memanggil-manggil dengan alunan yang sangat sayup. Seperti yang aku telah berkata seperti di atas bahawa orang tua-tua dahulu menyifatkan apabila bunyi burung hantu kedengaran maka ada orang yang akan meninggal dunia akan tetapi aku tidak akan mempercayai sesuatu kepercayaan kerana ditakuti menjadi khurafat iaitu mempercayai perkara yang mitos dan tahyul. Hal ini kerana ajal dan maut adalah ketentuan Allah SWT dan hal ini tiada kaitan antara bunyi burung hantu pada waktu malam. Manusia diciptakan oleh Allah SWT dengan perasaan takut, cemas dan panik maka hal itu telah berlaku kepada aku apabila berseorangan ditambah pula dengan bunyian burung hantu yang agak lama kira-kira 20 minit pada tengah malam dan walaupun sudah menjadi kebiasaan, namun ianya tetap menakutkan aku.


                Aku rasa tiada seorang pun yang dapat merakamkan bunyi burung hantu secara langsung pada waktu malam dan menunjukkan burung hantu sedang berbunyi. Hal ini kerana burung hantu sangat aktif pada waktu malam dan jika ada manusia yang cuba mendekatinya, burung hantu tersebut akan lari bertempiaran dan anda hanya sempat merakamkan paras rupa burung hantu tersebut tanpa dapat merakam suara ketika burung hantu berbunyi. Apabila kita tinggal di bandar untuk mendengar unggas berbunyi sekali pun amat susah inikan pula bunyi burung hantu. Burung hantu akan berada berhampiran rumah anda sekiranya Rantaian Makanan lengkap di sesuatu kawasan itu dan sebagai contoh di dalam gambar ini.


                Alhamdulillah hari ini telah masuk hari yang ke 23 Ramadhan dan hanya tinggal 7 hari sahaja yang tinggal untuk umat Islam beribadat di dalam bulan Ramadan ini dan hampir seminggu sahaja lagi untuk menyambut ketibaan Syawal. “Awak ingat tak hari ini hari apa”? “Hari ini hari sabtu, jawapannya adalah kita dah cukup seminggu yeayyyyy”. “Dah seminggu dah kita bersama kan”, “so, saya harap kita dapat bersama-sama sampai selama-lama-lama-lama-lamanya, awak dengar tak”? “eh kenapa aku ini? Buang tabiat ke”? Hahahaha.. Ingat 7 hari, ingat “7 Hari couple” yang hangat di laman “You Tube”. Hehehe..

Menu pada hari ini adalah seperti berikut:

Sambal Terung (pedas kaw-kaw)


                Selain itu lauk pada hari ini adalah ayam masak asam. Aku sudah pernah menyiarkan sebelum ini iaitu gambar ayam masak asam yang telah menjadi makanan kegemaran aku hasil masakan emak aku. Hehehe.. Pada sebelah malamnya aku telah dapat memakan pelbagai jenis buah di masjid iaitu seperti berikut:

Buah Mata Kucing


Buah Rambutan


Buah Dokong


Aku amat sukakan buah tersebut kerana rasanya yang sangat manis dan lembut. Terima kasih semua. Huhuhu….

                Sekian sahaja untuk ruangan aku pada hari ini semoga kita berjumpa lagi di keesokan harinya dalam DIARI RAMADHAN HAFIZAM AREJEEP JLQ 2013 yang pastinya GOOGLE adalah penaja utama selaku enjin pencarian terbaik anda dan untuk pembikinan diari kali ini. Selamat berpuasa dan selamat menunaikan solat tarawih yang hanya ada di bulan Ramadhan. Selamat Bersahur !

Salam…PEACE NO WAR !!!





Diari Ramadhan Hafizam Arejeep JLQ 2013 Hari ke-22

22 Ramadhan 1434H bersamaan 31 July 2013M (Wednesday)

                Dalam ruangan diari aku pada hari ini ialah aku ingin menceritakan mengenai pengalaman aku ketika bersama dengan arwah Atuk aku iaitu Eempeh Binti Ibrahim (Berketurunan Bugis) yang telah kembali ke Rahmatullah pada 30 April 2013M bersamaan dengan 19 Jamadilakhir 1434H iaitu pada hari Selasa jam 6.30 minit pagi. Aku sendiri tidak tahu mengapa aku terfikir untuk menulis mengenai arwah atuk. Dalam kenangan manis bersama arwah atuk telah memungkinkan aku untuk memuat naik peristiwa yang menggamit kenangan dan untuk mengupas dengan lebih lanjut maka aku akan memulakan hari ini dengan menyedekahkan al-fatihah kepada arwah atuk. Al-Fatihah…

                Setiap malam aku akan pergi kerumah arwah atuk (perempuan belah mak) dimana rumah arwah atuk berdekatan dengan rumah ibu dan bapa aku. Daripada tingkatan 1 sehinggalah tingkatan 5, aku menemani arwah atuk untuk tidur pada waktu malam kerana arwah sudah lama ditinggalkan oleh atuk jantan (Suami atuk) setelah meninggal dunia sebelum aku dilahirkan. Agak janggal apabila aku memanggil nenek dengan panggilan atuk akan tetapi adat BUGIS memang seperti itu. Apabila berkahwin maka cucu akan memanggil atuk pada kedua-dua pasangan dan selepas gelaran atuk barulah digelar NEK dan NENEK. Selepas itu barulah gelaran MOYANG. Anak-anak atuk sudah bekerja dan kesemuanya telah berhijrah ke tempat lain maka atuk aku tinggal berseorangan. Sebelum ini abang dan kakak aku menemani arwah atuk akan tetapi setelah menamatkan zaman persekolahan mereka telah berpindah ke Kuala Lumpur dan akibat daripada itulah aku pula yang menemani arwah atuk sehinggalah aku tamat persekolahan di tingkatan 5. Apabila menjejakkan kaki ke tingkatan 6, tempat aku telah digantikan oleh adik perempuan aku namun tidak lama selepas itu adik aku sudah tidak mahu menemani arwah atuk aku dan setelah itulah atuk aku tidur bersendirian pada waktu malam.

                Mengapa aku tidak menyambung dan meneruskan legasi dengan menemani arwah atuk jika adik aku berkeras tidak mahu menemani atuk semula? Justeru itu aku menyambung semula legasi dengan menemani arwah atuk pada waktu malam kerana atuk berasa takut tinggal berseorangan di waktu malam jika didatangi perompak mahupun pencuri maka atuk aku tidak boleh berbuat apa-apa dan jika adanya aku dirumah maka atuk akan lebih terjaga dan terjamin. Arwah atuk adalah insan yang sangat baik dalam menjaga cucu-cucunya. Semasa aku menemani arwah atuk, atuk akan membuatkan sarapan pagi hampir setiap hari untuk aku pergi ke sekolah. Jika atuk tidak membuat sarapan, paling tidak pun atuk akan menyediakan air milo di atas meja makan. Aku sangat terharu dengan karaktor yang dipersembahkan oleh atuk tatkala setiap pagi. Ibu kandung aku sendiri pun tidak akan berbuat sedemikian kerana masih ramai tanggungan tetapi atuk aku hanya menanggung aku sahaja. Setiap malam aku akan dihidangkan dengan makanan oleh arwah atuk kerana arwah atuk sememangnya tahu bahawa aku akan lapar ketika waktu tengah-tengah malam. Apabila jam 8 maka akan terhidanglah makanan di atas meja tetapi arwah atuk akan memakan selepas waktu isyak dan aku selalu menunggu waktu isyak masuk dan solat bersama. Selepas selesai menunaikan solat Isyak kami akan makan makanan yang telah dihidangkan oleh arwah.

                Arwah atuk sangat menitikberatkan akan tiang agama iaitu SOLAT. Jika aku tidak ke sekolah pada hari sabtu dan ahad maka arwah atuk akan menjerit sehingga aku bangun untuk solat. Pernah suatu ketika aku terasa letih dan aku tidak bangun untuk solat Subuh, maka atuk telah memarahi aku seperti anaknya sendiri. Arwah atuk selalu mengingatkan aku bahawa soalan yang bakal ditanya di akhirat nanti mula-mulanya adalah solat jadi jangan pernah meninggalkan solat. Arwah atuk sentiasa mendengar ceramah pada waktu pagi di TV3 dan TV1. Biasanya pada waktu Subuh siaran tersebut akan menampilkan segmen ceramah motivasi dan kuliah subuh oleh penceramah agama selama sejam. Semasa tilawah Al-Quran berlansung di TV1, hampir setiap malam arwah atuk akan membuka siaran tersebut dan jika bekalan elektrik terputus atau pencawang mengalami gangguan, atuk akan membuka radio untuk mendengar ayat suci Al-Quran diperdengar dan dialunkan oleh qari dan qariah.

                Antara kesemua cucu, atuk lebih menyayangi abang aku kerana abang aku adalah cucu pertama yang menemaninya dan menjadi gelak ketawanya setelah arwah atuk jantan meninggal dunia. Hampir setiap hari abang aku menemani arwah atuk dan sehinggakan pada suatu malam arwah atuk pernah bercerita pada aku dimana abang aku menangis kerana tidak dapat tidur bersama arwah atuk pada usianya belasan tahun iaitu semasa kecil dan untuk itu abang aku berlari di tengah-tengah malam untuk mendapatkan arwah atuk di rumahnya. Justeru itu, saat itulah aku dapat rasakan yang atuk sangat sayang akan abang aku. Gambar abang aku disimpan didalam almari (gobok) iaitu gambar perkahwinan abang aku pada tahun 2004. Kadang kala apabila atuk memanggil nama aku, atuk kerap kali tersilap dengan memanggil nama abang aku. (cucu kesayangan memang seperti itu). Aku berasa sangat iri hati akan hal itu namun aku reda kerana atuk sudah tua dan kadang kala akan tersilap memanggil nama orang dan pernah juga atuk memanggil nama abang aku dengan nama aku. (That’s small matters).

                Setelah aku mendapat panggilan ke Universiti, atuk sangat gembira dengan aku kerana aku adalah satu-satunya anak LELAKI dalam adik beradik aku yang dapat menembusi ke alam universiti. Hal ini kerana beza aku dan abang aku adalah dari segi sikap, disebabkan itulah atuk aku menangis tatkala mendengar berita itu. Atuk aku telah menitiskan air mata dan berharap aku dapat belajar bersungguh-sungguh kerana itu adalah masa depan. Beliau tidak mahu aku mensia-siakan pelajaran kerana atuk tahu aku tidak boleh bekerja kebun dan satu-satunya peluang adalah belajar dengan bersungguh-sungguh. Sebelum aku berangkat ke Kedah, atuk sekali lagi menangis kerana aku akan meninggalkan dia dalam waktu yang lama dan atuk sangat khuatir akan kehidupan aku di Kedah nanti kerana atuk tidak mahu aku bercampur dengan pelajar-pelajar nakal dan terlibat dengan gejala merokok dan dadah. Aku bercakap kepada atuk iaitu jangan terlalu khuatir akan hal itu dan aku akan jaga diri dan akan selalu pulang ke rumah.

                Pada suatu hari atuk telah dimasukkan ke Hospital dan atuk mengalami strok iaitu tangan di sebelah kanan atau kiri atuk (aku tidak pasti) tidak boleh digerakkan. Bermula daripada waktu itu, atuk telah jatuh sakit dan menandakan perjalanan hidupnya semakin singkat. Akan soal atuk berada di hospital dan siapa yang selalu menjenguk dan menjaganya, aku tidak tahu kerana aku sedang berada di Kedah untuk meneruskan semester ke-4. Selepas kira-kira sebulan berada di Hospital, atuk telah berkehendak untuk pulang kerumah kerana beliau mahu meninggal dirumahnya sendiri. Waktu itu atuk sudah tidak berdaya dan perlu dibantu oleh kereta roda. Dipendekkan cerita, atuk telah selamat sampai ke rumah mak di Johor yang selama ini atuk barada di Hospital di Puchong, Selangor, rumah mak busu aku di Puchong dan rumah pak long aku di Subang. Sebelum atuk sakit dan berada di Hospital, atuk tinggal dalam keadaan sihat walafiat di rumah abang aku di KL. Setibanya di rumah, muka atuk sudah pucat dan atuk berkeadaan tidak bermaya, kurus dan seperti orang letih. Aku telah diberitahu oleh Kakak Ipar iaitu isteri abang aku iaitu atuk telah tenat dan aku sangat sedih ketika mendapat panggilan daripada kakak ipar aku itu. Untuk itu aku meminta gambar daripada kakak aku Fuziah yang secara kebetulan kakak aku itu sedang berpantang dirumah kerana melahirkan anak kedua. Aku masih menyimpan gambar atuk yang pucat lesi itu sehingga sekarang.

                Alhamdulillah pada 29 April 2013 aku telah dapat pulang awal untuk Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13) iaitu diberi cuti oleh pihak Universiti iaitu pada 3, 4 dan 5 April 2013. Pada 30/4 aku tidak mempunyai kelas, dan hari rabu 1 Mei adalah hari pekerja dan hari khamis 2 Mei aku telah ponteng kelas dan hari jumaat dan sabtu (3 & 4 Mei) aku tidak mempunyai kelas dan telah diberi cuti awal untuk PRU13. Justeru itu aku sangat bernasib baik kerana dapat membeli tiket dan dapat pulang kerumah untuk melihat atuk yang sudah tenat akan tetapi pada 30/4/2013 atuk telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 6.30pagi didalam waktu Subuh dan untuk itu aku berasa terkilan di dalam bas kerana tidak dapat meminta maaf dengan arwah sebelum arwah meninggal dunia. Aku telah tiba di rumah atuk pada pukul 9 pagi dan pada waktu itu begitu ramai orang di rumah atuk sehingga tidak muat untuk aku masuk menjengah atuk.

                Ketika masa untuk dibawa ke tanah perkuburan, ada satu sesi untuk menatap arwah dan kain kapan pada bahagian muka telah dibuka dan pada waktu itulah aku telah mengambil kesempatan untuk mengucup dahi arwah atuk buat kali terakhir dalam hidup aku dan alangkah sedihnya hati aku ketika itu hanya Allah sahaja yang maha mengetahuinya. Berjurai air mata aku membasahi baju aku selepas mengucup dahi arwah atuk kerana aku sangat menyayangi atuk sehinggalah aku meninggal dunia. Aku sendiri telah mengangkat jenazah arwah atuk untuk dimandikan bersama yang lain, disembahyangkan serta ketika mengandar jenazah atuk mengiringi jenazah ke tanah perkuburan. Ketika untuk memasukkan arwah atuk ke dalam liang lahad aku tidak dapat menahan sebak dan kotak memori aku ini sentiasa ingatkan jasa arwah ketika beliau hidup  pada ketika itu. Aku telah ditenangkan oleh mak dan kakak aku supaya jangan menangis seperti itu seolah-olah tidak membenarkan arwah atuk pergi dengan aman. Pada ketika itu, aku seperti sedang melepaskan bertan-tan air mata kerana aku dapat melihat dengan mata kepala aku sendiri atuk dikebumikan.

                Pada hari ini sudah 1 Ogos 2013 maka genaplah 3 bulan untuk atuk meninggalkan kami semua bermula 30 April, Mei, Jun dan Julai. Aku sangat rindu akan arwah atuk yang banyak berjasa kepada aku daripada aku kecil sehinggalah dewasa. Jika masa boleh berpatah semula, aku akan menjaga atuk dan tidak akan bersikap malas jika atuk menyuruh aku membuat sesuatu pekerjaan. Terima kasih aku ucapkan kepada IBU dan BAPA SAUDARA aku (ELA & KARIM) kerana telah membawa atuk pulang kerumah ketika atuk mahu pulang kerumahnya ketika atuk tenat. Aku tidak tahu bagaimana perasaan aku apabila aku mendengar TAKBIR RAYA pada 1 Syawal nanti tanpa arwah atuk yang sangat aku kasihi. “Atuk baliklah, Ajib rindu dengan atuk, atuk janganlah macam ini, ATUK ! ATUK ! ATUK” !  


Al- fatihah 


“IN MEMORY” (sitting in the left seat)


                Sekian sahaja untuk DIARI RAMADHAN HAFIZAM AREJEEP JLQ 2013 pada hari ni. Aku sangat rindu akan arwah atuk pada ketika itu semoga arwah atuk ditempatkan dengan orang-orang yang beriman amin. Terima kasih aku ucapkan kepada semua yang telah menjaga arwah atuk daripada Hospital sehinggalah saat-saat arwah untuk meninggal dunia. Alhamdulilllah semoga jasa kalian semua dibalas dengan ganjaran pahala dari-Nya. Semoga arwah tenang disana in sha Allah dan bertemu kita lagi di keesokan harinya pastinya GOOGLE selaku penaja utama Diari aku. Selamat menunaikan ibadah puasa dan selamat Bersahur.

Salam.. PEACE NO WAR !!!